#latepost : Program Semaian Kasih

bismillah.....

All praises to Allah.....Allah the Almighty

11 April

Hari Jumaat penuh barakah. Sekitar pukul 3 petang, terdengar suara keriuhan bergema di Balai Cendana. "Ah,mereka sudah sampai" getus hatiku. Hatiku tiba bergetar keresahan, gelisah ketakutan mengenangkan rancangan kami sebulan yang lepas adakah dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh 3 hari ini. Sementelahan pula kami semua masih mentah dalam menguruskan program.


Abang-abang penyayang katanya
Usai urusan pembahagian tempat penginapan untuk para peserta maka hilanglah 10% peratus kegusaran dalam hati. Alhamdullilah setakat ini program masih berjalan lancar.


Malam. Langit gelap, kosong tidak berbintang. Acara pertama, majlis perasmian program. Diberi amanah untuk menjadi pengerusi majlis, gementar di hati hanya Allah yang tahu.
trio teknikal

muka tersenyum, hati gementar. Lutur terketaq.


 Alhamdullilah, walaupun terdapat kekurangan akhirnya tepat pada 11 malam, majlis tamat dan diteruskan dengan LDK yang pertama. Sesi pecah ais (dibaca;ice breaking). Terpancar keriangan dan terdengar jeritan kegembiraan para peserta. Namun, manusia hanya mampu merancang.


Lima minit sebelum bersurai, guruh berdentum dan hujan turun selebat-lebatnya. Ah sudah, bagaimana harus kami redahi hujan lebat ini untuk pulang ke kolej? Malam makin lewat melepasi waktu tidur mereka. Tindakan pantas para AJK berulang-alik membawa mereka pulang ke kolej wajar dipuji.

12 April

Suria kembali menerangi alam. Sebaik sahaja aku turun, mereka semua sudah bersiap sedia mengisi perut bas untuk ke FSKTM dan sekali lagi, aku tidak dapat menyertai kerana harus berlatih untuk majlis penutupan keesokan harinya. Cemburu? Sudah tentu. Namun, inilah pengorbanan.
Sekitar pukul 2, mereka kembali semula ke dewan untuk berlatih persiapan malam kebudayaan.





4 jam berehat, malam kebudayaan berkunjung tiba. Sungguh aku terhibur. Disebalik semua kekurangan, mereka berusaha memberikan kerjasama yang terbaik dan pujian harus diberikan kepada mereka.
 Kejutan di penghujung majlis apabila Dato' dan anak-anak istimewa berkenaan menyampaikan sebuah lagu. Hanya satu sahaja perasaan pada masa itu. Sebak dan sedih. Sungguh, aku mengerti. Golongon ini tidak begitu diberi pendedahan berbanding golongan anak-anak yatim yang sering dijemput untuk menghadiri pelbagai program anjuran pelbagai pihak. Mengimbas kembali perbualan ku bersama Dato' petang tadi. Aku dapat lihat bertapa gembiranya beliau apabila pihak kami ingin menganjurkan program bersama anak-anak istimewa beliau. Sepanjang lima minit perbualan, tidak henti-henti pujian dan kesyukuran yang diberikan kepada kami atas penganjuran program ini. Usai dendangan lagu, ku lihat mata merah bergenang air mata di mata-mata. Kerana mata ku sentiasa di belakang lensa, andai mataku bergenang juga, akan kabur lah mataku dan juga gambar yang diambil.

13 April

Hari terakhir. Masa berlalu begitu pantas. Hari terakhir berkunjung tiba. Sekali lagi, aku dikecualikan daripada menyertai program keran terlibat dengan raptai majlis penutupan program. Daripada maklum balas mereka yang menyertai, para peserta begitu gembira berinteraksi dengan binatang di Ladang 16. Syukur. Mereka menyukainya. Tepat pukul 3 petang, majlis penutup akan berlangsung. Merenung ke luar dari podium pengerusi majlis, mereka mula tiba sedikit demi sedikit.

teman pengerusi majlis.
 Majlis dimulakan seperti biasa. Ucapan, penyampaian hadiah dan juga persembahan.

Baju kuning : Pengerusi majlis

 Tanpa kami sedari, majlis akan berakhir. Namun, perpisahan bukanlah apa yang diimpikan sekarang. Saat bas pergi meninggalkan perkarangan dewan, terangkat beban di bahu yang ditanggung selama tiga hari. Namun di sebalik kelegaan berakhirnya program, terasa seperti ada yang kurang. Sunyi. Tempoh tiga hari yang lepas membuka mindaku pada pengalaman baru. Mengajarku hidup ini bukanlah semata-mata untuk kita sahaja. Sepanjang haruslah sentiasa berbudi dan belajar mensyukuri. Sungguh, ini bukanlah titik pengakhiran tapi satu permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik. Aku bertekad untuk mendedikasikan diri aku kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan. Waktu muda tidak harus disiakan. Harapan, tahun depan mungkin akan kita bertemu lagi.







"Sesungguhnya pengalaman mematangkan seseorang. Ia mengubah cara seorang individu itu berfikir, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga bagaimana dirinya boleh menyumbang kepada orang lain."

Salam pengakhiran.

Comments